SPG: Petronas lupa pengorbanan Sarawak, pinggir anak tempatan

13/8/2016

MIRI: Syarikat perbadanan minyak negara, Petronas, telah lupa peranan dan pengorbanan Sarawak bagi menjadikannya salah sebuah daripada sebuah daripada 500 syarikat terbesar dunia atau ‘Fortune 500’ yang tersenarai, namun memiliki rekod pekerjaan jauh berbeza dengan tuntutan meritokrasinya, dedah Suarah Petroleum Group (SPG).

Media Komunikasi Kumpulan Petroleum Sarawak SPG, Yusuf Abdul Rahman, ketika mengulas kenyataan terbaharu Petronas kelmarin, mendedahkan bahawa langkah penstrukturan semula tenaga kerja terkini dilaksanakan, menyaksikan kerja berdasarkan meritrokrasi dan keperluannya telah dihapuskan meskipun terdapat ramai rakyat Sarawak mempunyai kelayakan.

Malah katanya, Petronas ‘berhutang’ sebahagian besar kejayaannya dengan Sarawak bermula dari sejarah penubuhan syarikat tersebut hingga menjadi sebuah syarikat multinasional yang disenarai dalam Fortune 500.

“Rakyat Sarawak tidak meminta atau merayu untuk pekerjaan yang mereka tidak layak. Semua rakyat Sarawak perlu diberi peluang adil. Akan tetapi jika perkara itu tidak diberi kepada mereka (rakyat Sarawak) kerana sikap berat sebelah Petronas yang lebih pro-Semenanjung Malaysia, maka mereka perlu menjawab kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut mendakwa bahawa Petronas dalam usahanya menjadi sebuah syarikat multinasional telah melupakan peranannya sebagai syarikat minyak negara dan tuntutan meritokrasi hanya dilihat sebagai alasannya sahaja.

“Rakyat Sarawak telah bekerja dalam industri minyak dan gas lama dahulu sebelum ada rakyat Semenanjung Malaysia menceburi industri ini dan hari ini mereka adalah antara yang terbaik.

“Malah mereka boleh mencari pekerjaan dalam industri minyak dan gas di seluruh dunia, tetapi pelik, mereka tidak mendapatnya di negeri atau tanah air mereka sendiri (bekerja) untuk Petronas. Mengapa?” Yusuf mempersoalkan.

SPG menegaskan bahawa Sarawak telah mengorbankan sumber petroleumnya kepada Petronas sejak 40 tahun lalu, berhak menuntut, keutamaan diberikan kepada rakyat Sarawak untuk pekerjaan di negeri ini.

Yusuf berkata Malaysia telah ditubuh atas Borneonisasi dengan hak negeri termasuk kawalan ke atas imigresen sendiri dan keutamaan untuk pekerjaan.

Bagaimanapun perkara ini katanya telah ‘diabai’ oleh Petronas, sekali gus menyaksikan kekurangan warga Sarawak dalam jawatan pengurusan kanan di Petronas itu sendiri, atau di peringkat lembaga pengarah.

“Sementara itu, Jabatan Sumber Manusia Petronas perlu melihat gambaran yang lebih besar dan dengan berbuat demikian, mereka jangan melupakan ‘akar umbi’ dan siapa sepatutnya dijaga dan diberi perhatian.

“Petronas berpendapat bahawa ia hanya membuat keputusan mengenai meritokrasi, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya, terutamanya apabila kakitangan rendah dari semenanjung diberi pekerjaan menggantikan kakitangan kanan warga Sarawak,” tambahnya.

Idea di sebalik pelepasan sumber (hasil dan pekerjaan) oleh negeri pengeluar petroleum bagi Petronas adalah untuk memberi manfaat kepada negeri-negeri bukan pengeluar petroleum.

“Ia adalah ironis bahawa kini negeri-negeri pengeluar petroleum mendapati diri mereka antara termiskin di negara ini, tidak mampu untuk mengambil kesempatan daripada peluang pekerjaan untuk rakyat mereka sendiri,” ujarnya lagi.

Minggu lalu, laporan muka depan akhbar The Borneo Post dua hari berturut-turut menyiarkan kebimbangan yang dibangkitkan SPG mengenai pemansuhan 29 jawatan tetap mengakibatkan pemberhentian 13 kakitangan berpengalaman dari Sarawak oleh Petronas dalam penstrukturan semula industri huluan di Sarawak.

Presiden SPG, Hamim Yusuf dipetik sebagai berkata bahawa majoriti jawatan kanan juga telah diisi oleh orang bukan rakyat Sarawak dan kemasukan pekerja dari Semenanjung Malaysia, bagi mengisi jawatan peringkat rendah pula, telah memburukkan lagi keadaan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan berikutnya, Petronas percaya bahawa keputusan itu, yang diumumkan pada hujung minggu, mungkin telah dibuat berdasarkan persepsi yang salah, bahawa penyusunan semula perniagaan kumpulan syarikat itu baru-baru ini telah memberi kesan tidak adil kepada kakitangannya dari Sarawak.

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa jawatan dijangka diisi oleh pekerja yang berpengalaman, yang mungkin termasuk bukan rakyat Sarawak, sambil berkata, kunci kepada kejayaan penyampaian dan operasi projek-projek Petronas di Sarawak adalah sokongan dan komitmen semua pihak yang berkenaan, terutamanya pasukan kakitangan yang berkelayakan, terlatih dan berdedikasi, tanpa mengira dari mana asal mereka.

Sementara itu, ahli-ahli politik dari kedua-dua belah dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini turut menyelar tindakan Petronas itu, yang kemudian mendorong kerajaan negeri bertindak balas, dengan memberikan tamparan hebat – membekukan permit kerja baharu kepada kakitangan Petronas bukan rakyat Sarawak.

Kerajaan negeri juga meminta Petronas untuk memberi taklimat kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.